Sunday, 25 December 2011

PENDIDIKAN ISLAM

PENGENALAN

Pendidikan dan pengajaran membawa maksud mendidik akhlak dan jiwa kanak-kanak, menanam rasa fadilah(virtues), membiasakan anak-anak dengan sifat kesopanan yang tinggi serta mempersiapkan mereka untuk suatu kehidupan yang suci, ikhlas dan jujur (Mohd Kamal Hassan, 1976).

Pendidikan yang diberikan hendaklah boleh memanfaatkan anak-anak pada masa dewasa kelak.

Didiklah anakmu untuk dia hidup pada zamannya (Sayidina Omar Ibnu Khattab)

Pendidikan anak-anak bermula sejak dilahirkan dengan didikan secara tidak formal (Pendidikan Anak Dalam Islam)

Perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama (0-7 tahun), peringkat kedua (7-14 tahun) dan peringkat ketiga (14-21 tahun). 
(Menurut Saidina Ali r.a)

TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN OLEH IBUBAPA

PERINGKAT PERTAMA (0 – 7 TAHUN)

Anak-anak dilayan dengan penuh kasih saying tetapi dibiasakan dengan disiplin yang umum Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik . Etiket umum yang perlu dibiasakan ialah cara  makan, cara ucapan dan sapaan, laras bahasa dan pertuturan. Merupakan peringkat yang paling kritikal dalam hayat individu dan kesannya berkekalan sehingga dewasa

PERINGKAT KEDUA (7 - 14TAHUN)

Pendidikan berbentuk khusus bolehlah dimulakan seperti pendidikan al-Quran, pembentukan perasaan percaya kepada diri dan bertanggungjawab. Kanak-kanak perlu dipupuk rasa hormat-menghormati hak orang tua dan hak orang lain. Memperkenalkan individu kepada peraturan hidup sosial.

PERINGKAT KETIGA (14 - 21TAHUN)

Anak-anak hendaklah dilayan seperti orang dewasa. Tanggungjawab orang dewasa hendaklah diperkenalkan dan dilatih kepada anak-anak. Penekanan pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbincangan diutamakan. Penggunaan pendekatan humanisme adalah lebih sesuai diaplikasikan.

MENURUT SARJANA ISLAM

Turki Rabih (1982) menyatakan bahawa Islam adalah agama dan negara aqidah dan syariat. Justeru, pendidikan Islam adalah program untuk menuju kepada matlamat membentuk peribadi manusia yang seimbang dan sepadu sama ada
dari segi aqliah,rohani ,jasmani dan emosi.

Hassan Langgulung (1986) menegaskan bahawa segala usaha untuk membentuk watak manusia sebagai khalifah di bumi adalah pendidikan menurut pandangan Islam dimana kelayakan manusia sehingga ia dilantik menjadi khalifah adalah kerana ia mempunyai beberapa ciri istimewa seperti:

  1. Fitrah  : Semula jadi manusia yang bersih daripada dosa. 
  2. Roh     : Unsur yang membezakannya daripada makhluk lain. 
  3. Akal    : Membolehkannya membuat pilihan betul atau salah.
  4. Kebebasan kemahuan  : Dapat menerima dengan kemahuannya sendiri amanah yang tidak dapat dilaksanakan oleh makhluk-makhluk lain
Miqdad Yalchin (1977) mendefinisikan pendidikan Islam sebagai proses melaksanakan falsafah pendidikan Islam dan merealisasikan hasilnya dalam bidang pembinaan, pembentukan dan pemasyarakatan seseorang selaras dengan keperibadian yang digariskan oleh falsafah Islam supaya sahsiah Islamiah
dapat dibentuk dalam setiap tindak tanduk, tingkah laku dan sikap seseorang muslim.

Yusof Al-Qardhawi (1982) mendefinisikan pendidikan Islam sebagai pendidikan proses yang mencakupi keseluruhan hidup termasuk akal dan hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkah laku. Kerana tujuannya ialah untuk menyediakan manusia bagi menghadapi hidup, baik dalam keadaan senang atau susah, dalam keadaan damai atau perang, di samping menyediakan mereka untuk menghadapi kebaikan dan kejahatannya, kemanisan dan kepahitan.

Khursid Ahmad (1973) , satu latihan aqliah, jasmaniah dan ruhiyah bertujuan melahirkan manusia, laki-laki dan wanita.

Al-Tamimi, (1985) sesuatu proses yang mampu memperbaiki kehidupan dan mewujudkan keseimbangan peribadi seseorang insan. Islam mempunyai ciri-ciri keimanan, akhlak dan ilmu. Sekiranya ciri-ciri itu tidak ada, maka pendidikan
tidak membawa erti yang sebenar, kerana ciri-ciri tersebut merupakan asas untuk mendapat kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan.

KESIMPULAN

Berdasarkan pandangan ahli-ahli pendidikan Islam, dapatlah disimpulkan bahawa pendidikan ialah suatu latihan atau bimbingan terhadap jasmani, rohani dan akal bagi melahirkan manusia yang baik dan sempurna untuk berbakti kepada Allah dan seterusnya untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment