Monday, 26 December 2011

PENDIDIK ISLAM & SIFAT-SIFAT PENDIDIK MENURUT ISLAM


Pendidik tergung ialah Rasulullah s.a.w.  Baginda mendidik umatnya melalui Al-Quran dan As-Sunnah.  Allah s.w.t berfirman yang bermaksud ;

“ Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat engkau dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran ) dan Al Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesunguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Baqarah : 129)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:  “ Ulama’ ialah pewaris para nabi”.
Menjadi kewajipan kepada para ulama’ (ahli ilmu) untuk meneruskan tugas mendidik ummah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati ”. (Surah Al-Baqarah: 159)

Pendidik di dalam Islam  adalah meliputi hal keduniaan dan akhirat sama ada pendidik itu menyampaikan Ilmu Fardhu Ain atau Ilmu Fardhu Kifayah. Sistem pendidikan Islam memperimbangkan tawazun antara kepentingan individu dengan kepentingan ummah melalui konsep Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Menurut Imam Ghazali illmu Fardhu Kifayah itu terbahagi kepada ilmu Syari’ah dan bukan Syari`ah
  • Ilmu Syari`ah ialah ilmu-ilmu yang diperolehi dari Nabi s.a.w.
  • Ilmu bukan Syari`ah ialah ilmu-ilmu yang terpuji, iaitu ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan kepentingan duniawi dan untuk kemaslahatan ummah, seperti ilmu kedoktoran dan sebagainya yang mana ilmu berkenaan menjadi keperluan bagi sesebuah negara.
Seorang pendidik haruslah memahami bahawa Islam adalah ad-Din bukan sekadar aqidah dan peribadatan tetapi suatu sistem hidup nizam al-hayat.. Pendidik bukan sahaja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan hukum Allah s.w.t.

Islam  memberi penghormatan yang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ulama’”. (surah Faathir: 28).

Tugas menyampaikan amalan keilmuan ini terletak pada pendidik. Melalui ilmu sahajalah kita dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan sesuatu yang hak dan batil. Mendidik adalah amanah Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang pernah mereka dengar, supaya dimanfaatkan oleh generasi-generasi berikutnya di mana sahaja.

Rasulullah s.a.w bersbda:  بلغوا عني ولو أية  

“ Sampaikanlah olehmu yang datang dariku meskipun hanya satu ayat”.

Orang yang pertama sekali bertanggungjawab dalam mendidik ialah ibu bapa atau penjaga anak-anak. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Semua kanak-kanak dilahirkan suci, tetapi ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam , maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam , maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”.

Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik atau guru dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat

Bidang Perguruan Pada Pandagan Islam

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik”. (Surah an-Nahl: 125).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“ Bahwasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya”.

Kedua-dua nas di atas, menunjukkan dengan jelas akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan. Seorang pendidik mestilah menyedari hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dan kerja mendidik adalah sebahagian amal soleh .

Dari sudut sejarah menunjukkan hubungan di antara istana dengan tuan guru di mana ulama’ dan guru adalah rapat dan dimuliakan berbanding dengan jawatan-jawatan lain manakala dari sudut budaya, konsep berguru amat diutamakan. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan ilmu, apa yang lebih penting ialah berguru untuk membina akhlak dan adab berilmu.

Sifat-Sifat Pendidik Menurut Islam

Pendidik dalam pendidikan Islam  adalah sebagai mediator bagi anak-anak untuk mengikuti gaya Islam i yang tercermin pada diri Nabi Muhammad s.a.w (Dr. Gamal Zakaria, 2002)

Pendidik adalah qudwah (kepemimpinan ) dan juga uswah (model) yang baik yang sering ditonton oleh anak-anak didiknya. Para pendidik perlulah menghiasi diri dengan sifat-sifat yang terpuji sesuai dengan sifatnya yang paling mulia di dalam Islam
Imam Ghazali telah menyatakan tujuh ciri pendidik yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas pendidik yang cemerlang:

Mempunyai rasa belas kasihan kepada murid-murid dan memperlakukan mereka sebagai anak sendiri
  •  Mengikut tingkahlaku dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan tidak minta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya
  • Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas atau mempelajari suatu tingkat sebelum berhak pada tingkat itu
  • Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut atau kasih sayang, bukan memarahi mereka atau mengejek
  • Tidak sesekali merendahkan mata pelajaran atau ilmu yang lain di hadapan muridnya
  • Hendaklah pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan
  • Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar
  • Ciri-ciri di atas jelas menunjuk bahawa pendidik yang efektif itu perlulah mempunyai disiplin yang tinggi dalam pendidikan sama ada dari segi sahsiahnya, ilmu pengetahuannya dan pedagogi pendidikannya.

Ibnu Khaldun ada mengungkapkan tiga langkah metod pengajaran:
  •  Hendaklah diajarkan kepada murid pengetahuan yang bersifat umum dan sederhana, khusus berkenaan dengan pokok bahasan yang dipelajari. 
        (Pengetahuan ini hendaklah disesuaikan dengan taraf kemampuan intelektual murid,  
         sehingga tidak berada di luar kemampuannya untuk memahami. Hendaklah murid  
         belajar pada tingkatan pertama atau paling sederhana).
  • Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun “Ketika itu tercapailah suatu malakah baginya di dalam ilmu itu, meskipun bersifat lemah”. Ibnu Khaldun memandang langkah ini sebagai langkah pendahuluan bagi langkah kedua
  • Pendidik kembali mengajarkan pengetahuan tersebut kepada anak didiknya dalam taraf yang lebih tinggi dengan memetik intisari pelajaran, keterangan dan penjelasan yang lebih khusus. Dengan demikian pendidik dapat mengantarkan anak didiknya kepada taraf pemahaman yang lebih tinggi, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Khaldun “maka menjadi baiklah malakahnya”
  • Pendidik mengajarkan pokok bahasan tersebut secara lebih terperinci dalam konteks yang menyeluruh, sambil memperdalam aspek-aspeknya dan menajamkan pembahasannya. Tidak ada lagi yang sulit dan penting yang tidak diterangkan. Begitu suatu ilmu selesai dipelajari, maka ilmu itu telah menjadi malakahnya.

Walau bagaimanapun Ibnu Khaldun mengatakan sebahagian anak didik yang cerdas kadangkala hanya memerlukan dua langkah sahaja di dalam mengajar mereka, terutama jika pendidik berkemampuan tinggi.

Di sini jelas bahawa pendidikan Islam  itu hendaklah diajarkan secara berperingkat. Oleh itu sukatan pelajaran yang disediakan haruslah mengambil kira tahap dan kemampuan murid agar setiap pelajaran yang diajarkan dapat dikuasai oleh murid dengan baik

KESIMPULAN

Kedudukan pendidik menurut Islam  adalah mulia kerana mereka adalah penerus tugas Nabi s.a.w dalam menyampaikan ilmu dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnahnya. Oleh yang demikian para pendidik wajiblah membentuk keperibadian yang luhur dan memiliki sifat-sifat yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam  kerana pendidik adalah qudwah dan juga uswah yang baik bagi anak-anak didik.

No comments:

Post a Comment